Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘Mekah’

Travelog Haji

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh..

Semoga Allah mengukuhkan hati dan menetapkan niat dan semoga perkongsian ini merupakan perkongsian yang memberi pelajaran kepada kita semua. Amin InsyaAllah.

labbayk-allaahumma-labbayk-labbayk-laa-shareeka-laka

Keberangkatan

Alhamdulillahirabbil ‘alamin atas limpah rahmatNya kami tiba di Masjidil Haram ba’da Maghrib 2 Zulhijjah 1433H/16 November 2012. Perjalanan kami dari Malaysia menaiki Emirates, transit di Dubai dan tiba di Jeddah pada Subuh 2 Zulhijjah. Atas urusan bas masuk ke Masjidil Haram, akhirnya alhamdulillah kami tiba Maghrib 2 Zulhijjah di bumi Bakkah yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi semua manusia *1

Berangkat ke Makkah pada musim haji bukan semudah kita menempah tiket untuk pergi pada musim umrah. Setidaknya, itulah pelajaran yang Allah berikan kepada kami. Usaha yang kami curahkan untuk pergi ke haji menggunakan medium berbeza dengan medium rezeki kami tapi insyaAllah inilah medium terbaik buat kami menurut penilaian Allah, Tuhan yang memegang segala kunci taqdir.

Sahabat baik saya dan suaminya cuma terdetik hati untuk pergi ke haji pada bulan Ramadhan 1433H. Sewaktu mereka menjelajah agen-agen swasta haji yang sanggup menguruskan haji bagi mereka, semua agen-agen menolak kerana proses menghantar surat rayuan telah pun ditutup oleh pihak pengurusan tabung haji. Tapi kerana memang Allah menetapkan rezeki haji bagi mereka pada 1433H, alhamdulillah mereka mendapat tempat ke sana pada 20 Zulkaedah 1433H, lebih awal dari kami yang meletakkan usaha untuk pergi dari awal tahun. Jadi benar kata kebanyakan orang, bahawa orang ke haji adalah tetamu Allah.

Daripada Ibnu Abbas r.a berkata bahawa Rasulullah saw bersabda: ”Tiga golongan manusia yang paling dibenci oleh Allah:

  1. Orang yang melakukan ilhad (kejahatan) di Tanah Haram
  2.  Orang yang mahu mengekalkan amalan jahiliyah dalam Islam
  3.  Orang yang menuntut darah manusia tanpa hak untuk menumpahkannya

                                                                                             (Sahih Bukhari No 6882)

06-doa-safar

Memulai perjalanan dengan doa safar, kami berdoa agar Allah melimpahkan kami kesabaran. “Wahai Tuhan kami, Limpahkan sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir (dalam hati, saya menujukannya untuk syaitan)” (Al Baqarah 2:250)

Makkah

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah Negeri Makkah ini negeri yang aman dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari menyembah berhala” (Ibrahim 14:35)

Bumi  Makkah sewaktu kami tiba berada dalam average temperature of 40oC dalam cuaca yang kering. Bentuk muka bumi Makkah adalah bebatuan besar dan pepasir halus. Dalam cuaca kering, berangin dan panas, pasir terbang ke mana-mana. Pasir memasuki mata saya walaupun bercermin mata hitam. Jadi, selepas beberapa hari di Makkah, saya dan teman sebilik membeli dan memakai Burqa’ demi kesihatan mata. Walaupun mereka memakai abaya hitam yang bersifat  menyerap haba, kita selesa dalam haba matahari.

Cuaca yang kering dan panas menjadikan kita haus immediate keluar dari masjid dan manusia berebut-rebut minum air zam-zam. Kulit kita memerlukan extra moisturizer dan lotion. Sekiranya tidak, kulit akan kering, menggelupas dan pedih.

Matahari memancarkan sinar terik

Membahang sehingga 50 darjah celcius*2

Tenggorokan kering, pedih

Terbayang susuk ibu

Yang berlari gundah kerana ditinggal bersama anak

Di kawasan gersang

Anaknya sudah meraung kehausan

Sedang tiada siapa di sini

Dia berlari-lari 500m

Tujuh pusingan

Sambil hatinya berdoa terus-terusan

Dengan keyakinan dan tawakkal

Kalau Allah yang memerintahkan ini, Dia pasti takkan pernah mensia-siakan kami

Allahumma solli ala Ibrahim

Wa ‘ala ali Ibrahim

Matahari memancarkan sinar terik

Angin menderu laju, mengeringkan kulit

Pasir-pasir menyinggah mata, pedih

Lalu hatiku terganggu

Kerana ini bumimu memulai sejarah

Berbaring dikepanasan ini, ditindih batu, diseret atas dasar iman kepada Allah

Apa khabar kulitmu tika diseret?

Apa khabar kerongkongmu saat kepanasan?

Apa khabar matamu saat pasir berterbangan?*3

Matahari memancarkan sinar terik

Besi dipanaskan

Ibnu Awwam dipanggang*4

Apa khabar kulitmu tika dipanggang?

Assalamualaikum  Ya Sohabal Muhajirin

Assalamualaikum  Ya Sohabal Ansar

Pengorbanan apakah ini yang pernah kalian lakukan

Untuk akidah ini sampai pada kami

Pantaslah Allah menggolongkan kalian sebagai golongan tambahan

Dari golongan kanan

Dan diganjar syurga lebih awal dari yang lain

Lalu disebut Allah sebagai muqarrabun*5

 

Masjidil Haram

SANYO DIGITAL CAMERA

Masjidil Haram punya kapasiti jamaah yang sentiasa ramai. Oleh kerana kadar kesesakannya tinggi, sukar mencari ruang tawaf/solat atau even ruang berjalan menuju tempat tawaf/solat. Kepada diri saya dan semua, amalkanlah doa “Rabbi Yassir Wala Tu’assir Robbi Tamimil Khair” *6 kemudian niatlah untuk dimudahkan laluan perjalanan dan diberikan tempat untuk solat. InsyaAllah, semuanya akan dimakbulkan.

Even seorang officemate saya yang berfikir, “Manalah Si Hanis ni?” dijawab Allah dengan kadar pusingan badan dan kamipun bertemu di Masjidil Haram.

Di dalam Masjidil Haram, Allah serasa sangat dekat dan sentiasa bersama kita. Jadi berdoalah. Mulailah kebiasaan berdoa dari saat ini sebelum berangkat, hingga kebiasaan menjadikan kita tidak lupa berdoa pada waktu kita memerlukan tangan Allah dalam kehidupan kita

Suatu hari, suami saya berkongsi pandangan beliau,”Cuba tengok tempat tawaf ni Ummi. Cuma ada 3 tingkat dan ruang yang limited tapi tak pulak overflow. Sebab Allah telah menetapkan dalam jutaan jemaah berapa sahaja yang diberikan kekuatan, kesihatan dan keinginan untuk bertawaf dalam setiap pusingan masa”.Subhanallah…

Sekalipun Masjidil Haram sentiasa penuh sesak, kadar kesesakannya berbeza dalam setiap kali waktu solat dari pemehatian saya dan suami. Misalnya, waktu Maghrib dan Isya’; kadar kesesakan lebih tinggi berbanding waktu Subuh, Zuhur dan Asar. Bermakna secara analisa, tidak semua yang berada di sekitar Makkah akan pergi solat berjemaah di masjid setiap waktu atas uzur-uzur tertentu.

Ibu saya pernah berkongsi,”Kata Ustaz, sebenarnya berangkat ke haji adalah pilihan kita. Alasannya, kan kita yang mengisi borang, membayar, mengemas pakaian dsb. Jadi, menghadapi apa juga takdir di sana dengan besar hati atau rungutan, itu juga pilihan kita.” Jadi, atas dasar tersebut, selalulah berdoa agar Allah memberikan kekuatan kesihatan badan dan keinginan hati yang kuat untuk mengejar kelebihan solat dalam masjidil haram.

Yang lebih baik adalah membiasakan diri mengejar kelebihan solat berjemaah dari di Malaysia sehingga ia menjadi kebiasaan yang tak mampu hati meninggalkan tanpa rasa janggal. Dan, setiap kali, bacalah doa-doa seperti dalam video di atas, hingga insyaAllah, tatkala apabila diizinkan Allah menuju Masjidil Haram/Masjid Nabawi/Masjidil Aqsa, kita tidak luput dari kebiasaan mengamalkan doa-doa ini. Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad atas ajaran doa-doa yang baik.

Infaq

Kawasan Masjidil Haram sentiasa dibersihkan. Pekerja-pekerja pembersihan mempunyai kadar kecekapan yang luar biasa mengagumkan. Saya berdoa semoga Allah melimpahkan mereka barakah atas kerja-kerja mereka dan mengampunkan saya atas keterbatasan diri dalam berinfaq kepada mereka. Robbana innana amanna faghfirlana zunubana wa qina ‘azabannar*7

Tatkala kita terbatas berinfaq dengan duit, mari berinfaq dengan amal-amal ringan seperti membuang sampah ke dalam tong sampah, senyum juga memberi salam, memberikan ruang solat, mengambil air zam-zam untuk orang-orang tua, melazimkan zikir dalam perjalanan ke masjid, membaca Al-Quran di dalam masjid, solat dhuha dengan semuanya atas niat kerana Allah swt.*8

Air Zam-Zam

Cuaca yang panas dan kering membawa kami melihat manusia yang berebut-rebut meminum air zam-zam. Dan kami pun berdoa, Semoga suatu masa tarbiyah mampu menjadikan Muslim haus beratur dengan sabar untuk air zam-zam di masa akan datang. Amin.

Matahari memancarkan sinar terik

Membahang sehingga 50 darjah celcius

Tenggorokan kering, pedih

Menghilangkan sabar

Berebut air zam-zam

Mana pergi sosok Puteri Syu’aib*9

Rabbana afrigh alaina sobran

Wa tsabbit aqdamana*10

Makkah bukan kawasan yang dekat dengan tasik atau sungai. Malah bentuk muka buminya yang bebatuan besar dan pasir membuatkan negara-negara Arab di Asia Tengah (terkecuali Libya) belum mempunyai kepakaran membuat paip air yang boleh menyalurkan air bersih ke rumah-rumah secara direct macam di Malaysia. Jadinya mereka mempunyai banyak lori untuk urusan pengurusan air dan najis. Lori ditanda dengan badan hijau membawa air bersih yang boleh digunakan untuk mandi dan memasak. Sedang lori merah untuk membuang kumbahan najis dari kawasan kediaman, rumah atau hotel. Sumber air terdekat adalah Laut Merah dan Arab Saudi menggunakan desalinization process yang sangat mahal untuk merawat air sebelum dihantar ke kawasan-kawasan rumah. Melihat bentuk muka buminya yang kering membuat kita takjub dengan wujudnya Telaga Zam-Zam yang tidak pernah kering hingga kini dari masa masa bayi Nabi Ismail a.s. Menurut buku Makkah Al Mukarramah Kelebihan dan Sejarah yang ditulis oleh Ustaz Abd Basit Abd Rahman, usia telaga zam-zam dianggarkan 4847tahun.*11Wallahua’lam

Usia telaga dengan jutaan peminum tanpa kering sejak dari Zaman Nabi Ismail a.s benar-benar membuat kami berdua tertanya-tanya geological study air zam-zam. Subhanallah walhamdulillah atas nikmat Allah yang mengizinkan air zam-zam berada di Tanah Haram Makkah.Sehingga dia harus menjadi tempat kita mendapat petunjuk sekiranya kita berfikir.

air-zam-zam-keajaiban-allah-sepanjang-masa

Hari ini, di sekeliling Masjidil Haram, ada banyak air zam-zam yang dipaipkan bersama chiller mechanism build in pipe untuk semua jemaah umrah/haji. Sehingga ia melegakan tenggorokan kita tatkala kita meminumnya di tengah kepanasan. Rasulullah saw bersabda:”Sesungguhnya zamzam merupakan air yang diberkati. Sesungguhnya ia mengandungi zat makanan” (Sahih Muslim No 2473)

Dan yang paling menjadikan hati kita terharu, Rasulullah saw bersabda:”Air zamzam itu untuk sebarang niat orang yang meminumnya dengan izin Allah” Lalu tak hairan, Ibnu Abbas r.a berdoa dengan doa ini tiap beliau meminum air zamzam “Allahumma inni asaluka ‘ilman nafi’a, wa rizqan nafi’a, wa rizqan wasi’a, wa syifaan min kulli da’” *12

Arafah, Muzdalifah, Mina

Antara wajib haji adalah bergerak ke Arafah pada 9 Zulhijjah, bermalam di Muzdalifah, dan bermalam di Mina serta membaling 7 biji batu di Jamratul Sughra, Wusta dan Kubro.

550064_307506515989403_1561640604_n

Setiap orang pasti mempunyai pengalaman berbeza di sini sebab setiap orang diuji dengan ujian yang berbeza. Ada yang dimudahkan dan ada yang diberatkan. Membina diri dari sebelum pergi untuk sentiasa menerima takdir dengan sabar dan syukur adalah suatu yang membenteng diri dari ujian-ujian di sini *13. Dan percayalah membenteng diri dengan sabar dan syukur bukan perkara yang mudah tanpa bantuan Allah dalam langkah perjalanan kita.

Secara kesimpulan, sepanjang berada pada musim haji, banyakkanlah berdoa. Sebelum ke Arafah, berdoalah semoga Allah menyampaikan kita di Arafah awal-awal supaya kita dapat berada di Arafah sepanjang tempoh Zuhur-Maghrib yang merupakan tempoh doa dimakbulkan*14. Rancanglah doa-doa anda dan sentiasalah berdoa dimudahkan urusan dan perjalanan sepanjang ke Muzdalifah, Mina dan sewaktu membaling batu di jamarat.

Doa yang paling baik adalah doa daripada Al-Quran kemudian doa dari hadis-hadis dan kemudian doa yang terbit dari hati yang paling dalam*15. Ada dua buku yang menjadi rekomendasi saya untuk doa-doa sepanjang tempoh haji.

Sepanjang berada disini ada tiga doa yang sangat mengikat hati saya.

1) Doa musafir dalam setiap perjalanan/hentian. Kerana doa musafir sentiasa membalikkan niat kita untuk menjadikan perjalan ini dalam kebaikan dan taqwa. Disamping mengingatkan kita untuk menjadikan Allah sahabat kita sepanjang perjalanan kita. Juga jagaan Allah terhadap harta dan keluarga yang kita tinggalkan.

2) Doa yang kedua adalah ayat dalam surah mukminun ayat 29 yang isinya memohon tempat tinggal yang baik selama bermabit

3) Doa rabbi yassir wala tu’assir robbi tamimil khair yang semoga dengannya kita dimudahkan urusan selama di sana

Sebelum berangkat, siapkanlah diri dengan ilmu. Persiapkanlah dengan ilmu tentang aqidah hingga kita tak terjerumus dalam kesyirikan sedang lidah mengucapkan bait-bait talbiyah. Ilmu tentang berhaji, ilmu tentang solat tika dalam musafir dan dalam kenderaan, ilmu tentang iman kepada Allah, Malaikat, Al-Quran, Kitab-kitab, Kiamat, Qada’ dan Qadar. Ilmu tentang sirah Rasulullah saw dan para sahabat. Ilmu tentang Al-Quran. Ilmu tentang Bahasa Arab. Persiapkanlah diri dengan ilmu hingga insyaAllah perjalanan ini bertambah makna dan nilainya di sisi Allah. Persiapkan target-target ibadah hingga kita sibuk dengan target-target dan tidak terjerumus dengan sembang-sembang kosong. Berbekallah dan sebaik-baik bekal adalah taqwa.

Rasanya sampai di sini dahulu perkongsian saya tentang Travelog Haji di Makkah. Semoga Allah memberikan kekuatan untuk saya berkongsi tentang Madinah Munawwarah.

Allahumma solli ala Muhammad

Wa ala ali Muhammad

Allahummaghfirlana zunubana wa isrofana fi amrina

wa tsabit aqdamana

watawaffana ma’al abrar*16

Nota kaki:

*1(refer Ali Imran 3:96).

*2 Cuaca maksima bagi Makkah

*3(refer sirah hidup Bilal bin Rabah r.a di awal Islam)

*4 (refer sirah hidup Zubair bin Awwam r.a di awal Islam)

*5 (refer Al Waqi’ah 56: 7-11)

*6 Ya Allah, mudahkan, dan janganlah Engkau susahkan. Ya Allah sempurnakanlah (semua hajatku) dengan sebaik-baiknya

*7 Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman. Oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka (Ali Imran 3:16)

*8 “Dalam tubuh manusia terdapat 360 persendian (ruas tulang), maka wajib bagi setiap persendian diberi sedekah. Lalu mereka bertanya, siapa yang mampu melaksanakan semua itu wahai Rasulullah? Nabi SAW menjawab, kamu cukup menutup (membersihkan) air ludah yang ada di dalam masjid dan menyingkirkan sesuatu yang menghalangi jalan …. lanjutannya …. Jika itu semua tidak mampu engkau laksanakan, cukuplah bagimu melaksanakan 2 rakaat shalat dhuha” (H.R. Abu Daud, Kitab Shalat no. 1285, 1286, 5243).

*9 (refer Al Qasas 28:23)

*10 (refer Al Baqarah 2:250)

*11 Makkah Al Mukarramah Kelebihan dan Sejarah /Abd Basit Abd Rahman/Telaga Biru/Cetakan Pertama Julai 2008/Mukasurat 48

*12 “Ya Allah, aku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada semua penyakit”

*13 Ajaibnya perihal seorang mukmin itu. Sesungguhnya semua urusannya baik-baik belaka. Dan tiadalah memiliki ciri yang seperti ini melainkan hanya kepada seorang yang mukmin. Sekiranya dia diuji dengan kesenangan, lalu dia bersyukur. Maka syukur itu adalah yang terbaik baginya. Sekiranya dia diuji dengan kesusahan, lalu dia bersabar. Maka sabar itu adalah yang terbaik baginya. [Rw Muslim]

*14 Dari Amr bin Syuaib bahawa Nabi s.a.w. bersabda, “Doa terbaik adalah doa di hari Arafah. Dan ucapan terbaik yang saya dan para nabi sebelumku ucapkan adalah laa ilaha illallahu wahdahu laa syarika lahu, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syay`in qadir. (Tidak ada sembahan yang hak selain Allah semata tidak ada sekutu bagi-Nya, hanya milik-Nya semua kekuasaan, hanya milik-Nya semua pujian, dan Dia Maha Mampu atas segala sesuatu). (HR. At-Tirmizi no. 3585 dan dinyatakan hasan oleh Al-Albani dalam Shahih At-Tirmizi: 3/184)

*15 Dr Tariq Suwaidan/Misteri Haji dan Umrah  

*16 Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami dan teguhkan tapak pendirian kami (3:147) dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbuat kebaikan (3:193)

Advertisements

Read Full Post »