Feeds:
Posts
Comments

Posts Tagged ‘istiqamah’

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Beberapa bulan yang lalu, Allah memberi izin untuk saya menghadiri Children’s Play Programme yang sangat memikat hati saya. Hingga hari ini, hati saya masih berbunga-bunga melihat gelagat anak-anak dari video yang saya rakam. Salah satu aktiviti semasa Children’s Play Programme ialah bola beracun. Anak-anak duduk dalam bulatan dan bola di pas-paskan sesama mereka sambil muzik dimainkan. Sampai pada waktu muzik dihentikan, anak tersebut dikehendaki berkongsi dari diri dia apa sahaja berupa nasyid/kisah Rasulullah saw/hafazan yang dia ingat. Saya paling suka kisah Rasulullah saw yang disampaikan oleh Adik Busyra dengan sungguh-sungguh sambil mendendangkan lagu Nabi Anak Yatim setelahnya. Saya di buat terkagum-kagum dengan Adik Bara’ yang mempunyai kekuatan hafazan yang sangat baik pada usianya. Makhraj dan tajwid hafazannya mungkin jauh lebih baik dari ramai Muslim yang telah dewasa. Subhanallah wal hamdulillah…

Anak-anak yang disemai dengan Islam tidak akan pernah sama dengan anak-anak yang tidak disemai dengan Islam. Kerana kalimah Lailahaillallah ini memang menempati hidup manusia-manusia yang dipilih Allah.Kalimah ini menempati tangga terpenting dalam kosa kata seorang manusia kerana hanya dengan kalimah ini seseorang dikatakan masuk ke dalam Islam. Dan masuknya seseorang ke dalam Islam satu-satunya kunci yang menjadikan kebaikan-kebaikan sekalipun sekecil-kecil senyuman menjadi bahagian amal soleh yang menjamin seseorang dari azab neraka. Tanpa kalimah ini, kebaikan-kebaikan menjadi suatu yang tidak diendahkan makhluk langit dan tidak dicatat sebagai bahagian amal kebaikan dalam kosa kata para malaikat pencatat amal.”Pada hari itu banyak wajah yang tertunduk hina, kerana bekerja keras lagi kepayahan.Mereka memasuki api yang sangat panas” (Al Ghasyiah 88:2-4). Innalillahi wa inna ilaihi rojiun.

Setelah kita merasa sedih kerana melihat rakan non Muslim kita yang baik amalnya tapi amal baiknya tak dikenal para malaikat, mari melihat diri kita dan syahadah kita? Adakah syahadah kita yang kita ucapkan dalam tasyahud sewaktu solat kita adalah bentuk lentera iman yang mampu menjadi kunci untuk kita masuk ke syurga?

Dalam salah satu Raudhatul Jannah yang saya hadiri, ustaz bertanya kepada hadirin:

“Siapakah orang pertama yang akan dicampakkan ke dalam neraka?Saya beri kamu pilihan jawapan. A Abu Lahab, B Abu Jahal, C Firaun, D orang bukan muslim.”

Dewan kuliah menjadi sepi seketika. Masing-masing orang berfikir.

“Em.. A Abu Lahab!” Satu suara terpacul memecah sunyi.

“C Firaun!” Seorang lagi pelajar menjawab.

“Baik, saya nak tanya. Yang jawab A, kenapa Abu Lahab yang akan dicampakkan dulu? Kalau diikutkan, Firaunlah yang sepatutnya masuk neraka dulu, sebab Firaun hidup sebelum Abu Lahab kan?”

Suasana senyap kembali menyelimuti dewan kuliah. Ada beberapa orang pelajar mengangguk, setuju. Ada juga yang tidak memberi tindak balas apa-apa melainkan terus setia menadah telinga dengan dahi yang berkerut.

“Kalau Firaun yang dicampakkan dahulu ke neraka, atas sebab apa pula? Bukankah banyak lagi manusia yang hidup sebelum Firaun? Betul tak?” Ustaz menghalakan lagi soalan. Sengaja memprovokasi.

“Nanti kita lihat siapa orang pertama yang dicampakkan ke neraka. Orang itu ada di antara kita.”

Zappp! Darah gemuruh saya menjadi. Takut mendengar pernyataan yang dibuat oleh ustaz sebentar tadi. Tidak tahu bagaimana saya mahu menggambarkan rasa takut itu. Sungguh, hanya Allah sahaja yang tahu. Merasakan diri yang mungkin menjadi calon pertama dihisab dan dihumban ke dalam neraka, saya beristighfar. Terbayang api yang marak menyala disertai dengan binatang-binatang berbisa, ditambah pula dengan nanah yang busuk dan panas, Allah.. saya lemas. Sangat tidak mahu berada berdekatan pintunya, apatah lagi duduk baring di dalamnya.

“Hah! Sekarang mari kita lihat siapa orang pertama yang bakal dihumban ke dalam neraka.”

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dinyatakan bahawa:
“Sesungguhnya orang yang mula-mula diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang telah mati syahid, setelah dia didatangkan kepada Allah s.w.t, Allah s.w.t memperingatkan nikmat-Nya dan dia mengakui nikmat-nikmat itu. Lalu Allah s.w.t bertanya, “Apakah yang telah kamu lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?” Orang itu berkata ,“Saya berperang di jalan-Mu sehingga saya telah gugur syahid.” Allah berfirman, “Kamu dusta, sebaliknya kamu berperang supaya kamu dikatakan pahlawan dan perkara itu telah kamu peroleh.” Lalu Allah perintahkan dia diheret dengan muka terlangkup lalu dicampak ke dalam neraka.

Orang kedua yang diadili ialah seorang lelaki yang telah belajar ilmu pengetahuan, mengajarkannya dan membaca al-Quran, dia didatangkan ke hadapan Allah s.w.t dan Allah memperingatkan nikmat-nikmat yang telah diberi kepadanya dan dia mengakui nikmat-nikmat yang Allah berikan kepadanya. Allah berfirman, “Apakah yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?” Lelaki itu berkata, “Saya belajar ilmu dan telah mengajarkannya dan saya membaca al-quran kerana-Mu.” Allah berfirman, “Kamu berdusta, sebaliknya kamu belajar supaya kamu dikatakan ‘alim dan kamu membaca al-Quran kerana ingin dikatakan Qari lalu kamu memperolehinya.” Lalu Allah perintahkan dia diheret dengan muka terlangkup lalu dicampak ke dalam neraka.

Orang ketiga ialah seorang lelaki yang Allah telah permudahkan rezeki dan mengurniakannya pelbagai harta, setelah didatangkan ke hadapan Allah s.w.t dan Allah memperingatkan nikmat-nikmat yang telah diberi kepadanya dan dia mengakui nikmat-nikmat yang Allah berikan itu. Allah berfirman, “Apakah yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?” Lelaki itu berkata, “Saya telah membelanjakan pada jalan-jalan yang Engkau suka, untuk mendapatkan keredhaan-Mu.” Allah berfirman, “Kamu dusta, kamu membelanjakannya supaya kamu dikatakan seorang dermawan dan sesungguhnya kamu telah peroleh.”Lalu Allah perintahkan dia diheret dengan muka terlangkup lalu dicampak ke dalam neraka”.

Hurm, nampaknya, sesedih-sesedih keadaan orang non-Muslim, jauh lebih menyedihkan kalau kita menjadi Muslim yang bermain-main dengan syahadahnya. “Dan jika kamu tanyakan mereka, nescaya mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanya bersenda gurau dan bermain-main sahaja” Katakanlah, “Mengapa kepada Allah, dan ayat-ayatNya serta rasul-rasulNya kamu selalu berolok-olok? Tidak perlu kamu meminta maaf kerana kamu telah kafir setelah kamu beriman. Jika Kami memaafkan sebahagian dari kamu (kerana telah bertaubat), nescaya Kami akan mengazab golongan yang lain kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa” (At Taubah 9:65-66) Huu~

***

Dari sini, kita dapat menyimpulkan bahawa syahadah adalah ihwal pengakuan sebuah hakikat yang mahaprinsip (dengan sepenuh kepercayaan tanpa bermain-main); tiada tuhan selain Allah, Muhammad adalah utusan Allah.

Kerana itu para ulama’ mengaitkan syahadah dengan iman.Dan iman itu hanyalah akan sempurna bilamana adanya (1) pembenaran dalam hati, (2) pernyataan dengan lisan dan (3)tindakan dengan anggota badan. Jadi, belumlah benar iman seseorang yang enggan menurut syariat Islam sekalipun dia mengucapkan kalimah syahadah. Rasulullah saw bersabda:”Tidaklah disebut iman bila hanya dengan angan-angan dan hiasan. Akan tetapi, iman adalah sesuatu yang tertanam dalam hati dan dibuktikan dengan amal” (HR Ibnu An-Najar dan Ad-Dailami)

(1) Pembenaran dalam hati (Tasdiq bi Al-Janan)

Pernah dengar kisah tentang Abdullah bin Ubai? Abdullah bin Ubai adalah seorang yang sepatutnya memegang tampuk kuasa di Madinah. Di singkat cerita, beliau terpilih pembesar Madinah yang tertinggi sebelum kedatangan Rasulullah saw. Tapi dengan peristiwa Bai’ah Aqobah, pengIslaman massal orang-orang Madinah, dan syuro untuk menerima kedatangan Rasulullah saw, keluarga dan sahabat Makkah Muhajirin yang beriman, akhirnya Rasulullah saw yang dipersetujui sebagai pembesar tertinggi Kota Madinah. Dalam keadaan tidak mahu kehilangan pengaruh kaum dan masyarakat Madinah amnya, Abdullah bin Ubai pun turut beriman dalam keadaan rasa enggan kerana merasakan Rasulullah saw seolah perampas kerusi kedudukan yang sepatutnya menjadi miliknya.

Lantas keimananya adalah iman yang diupayakan kesolehannya lewat keinginan peribadi yang tak ingin kehilangan pengaruh diri. Al hasil, sejarah mencatatkan upaya belot beliau dalam kisah orang-orang munafik tidak ikut serta Perang Uhud, rencana pembunuhan Rasulullah saw dll peristiwa.

Syahadah beliau adalah syahadah yang diupayakan dengan lidah dan tindakan tapi tanpa hati yang mengiringi. Hingga ketika Abdullah bin Ubai meninggal, Allah menurunkan firman – sekaligus mengiktiraf kemunafikan beliau, “Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan jenazah seorang yang mati di antara mereka dan janganlah kamu berdiri mendoakan di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan rasulNya dan mereka mati dalam keadaan fasik (At Taubah 9:84)

(2) Pernyataan dengan Lisan (Iqrar bi Al-Lisan)

Abu Tolib- pembesar Quraisy itu tidak lain adalah pakciknya Sang Rasul SAW yang sangat beliau kasihi. Sewaktu orang-orang menolak dakwah Sang Rasul saw, dia mengerahkan seluruh tenaga dan fikirannya untuk membela anak saudaranya yang Al-Amin, “Anak adikku, pergilah dan katakan apa saja yang kamu sukai. Demi Allah, kamu tidak akan kuserahkan kepada siapa pun juga selamanya”

Tetapi ketika sakaratul maut menghampiri dirinya dan Rasulullah saw berusaha menuntun lisannya, “Abang ayahku, ucapkan lailahaillallah, satu kalimat yang dapat aku jadikan hujah untuk membela anda di sisi Allah”, dia bersikukuh menolak hingga maut menjemputnya.

Rasulullah saw memohonkan doa dan ampunan buatnya hingga Allah menurunkan ayat, “Tidaklah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun kepada Allah bagi orang-orang musyrik walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabatNya, sesudah jelas bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah penghuni Neraka Jahannam” (At Taubah 9:113)

Dengan turunnya ayat tersebut, jelaslah bahawa seseorang yang tidak bersedia mengucapkan kalimah syahadah dgn lisannya akan tertolak amalannya, sebaik apa pun amalnya di dunia.

(3) Tindakan dengan Anggota Badan (‘Amal bil Al-Arkan)

Dalam sejarah kehidupan kita, kita pasti selalu mendengar cerita tentang iblis. Iblis yang merupakan makhluk ghaib, pernah bersama malaikat di alam langit bahkan pernah berkomunikasi langsung dengan Allah swt. “Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam!” Maka mereka pun sujud kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka dia mendurhakai perintah Tuhannya? Pantaskah kamu menjadikan dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain Aku, padahal mereka adalah musuhmu? Sangat buruklah iblis itu sebagai pengganti Allah bagi orang yang zalim” (Al-Kahf 18:50).

Bila kita menelusuri tentang iblis, satu yang kita jelas ialah Iblis memang membenarkan kewujudan, bahkan keTuhanan dan kekuasaan Allah. Tapi pembenaran dalam hati dan lisan sahaja tentang kekuasaan Allah tanpa pembenaran dengan tindakan anggota badan – enggan sujudlah yang menjadikannya dikeluarkan dari syurga.

Jadi, mari kita recheck diri kita. Adakah dalam syahadah kita, kita juga ada dengan sengaja merasa enggan hati, lidah dan diri terhadap bingkai-bingkai syariat Islam? Mungkin saja, enggan memakai hijab, enggan memakai pakaian yang tidak menampakkan bentuk tubuh, enggan hati terhadap hak perwarisan dalam Islam, enggan hati terhadap hukum poligami yang ditetapkan Allah dll lagi? Mari memuhasabah syahadah kita untuk memastikan syahadah kita minima tidak menjadikan kita tersungkur di pintu syurga. Lailahailla anta, subhanaka inni kuntu minazzolimin.

***

Cubaan, godaan, kesenangan, penderitaan, kesulitan dan berbagai nuansa kehidupan terus silih berganti menimpa manusia. Seperti mana dinamiknya kehidupan yang kita lalui, seperti itulah dinamiknya iman kita. Oleh itu, ada orang yang mengawali harinya dengan iman, tapi luntur di tengah hari. Di pagi hari hatinya mantap dengan syariat Allah, di waktu asar hatinya jauh dari syariat Allah. Kerana itu sifat iman disebut yazid wa yanqus (naik dan turun). Ada masanya iman kita di atas, lalu bertebarlah amal soleh buah dari iman yang baik. Ada masanya iman di bawah, lantas, berciciranlah amal soleh.

Kerana adanya pertentangan dan pergolakan diri setelah iman menancap, adalah juga sikap istiqamah. Kata Umar Al Khatab, istiqamah adalah konsistennya ketaatan. Pernah, Muadz bin Jabal menghadap Rasulullah saw dan berkata, “Wahai Rasulullah, katakan kepadaku tentang Islam yang saya tidak mendapatkannya dari yang lain”

Beliau menjawab, “Katakan, aku beriman kepada Allah, lalu istiqamahlah”

Dengan kata lain, yang dituntut dari kita bukan hanya sekali persaksian iman, akan tetapi diikuti dengan mujahadah untuk mempertahankan iman. Istiqamah atau konsisten dalam iman merupakan keharusan untuk menunjukkan keimanan telah merasuki jiwa dan menempati liang-liang roma pernafasan dan pengaliran darah kita. Dan iman hanya akan terbukti istiqamah pada masa ia tahan ujian dalam setiap perjalanan kehidupan kita. “Alif lam mim. Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar keimanannya dan Dia mengetahui orang-orang yang dusta (Al-Ankabut 1-3)

Sikap istiqamah ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah saw sewaktu menjalani kehidupan penuh tentangan di Makkah & Madinah. Pembelaan yang prima terhadap nilai keimanan mereka tunjukkan dalam ketegaran sikap menghadapi berbagai cubaan. Tidak goyah oleh rayuan dan godaan, tidak mundur oleh tekanan dan cercaan. Inilah iman yang istiqamah yang terukir dalam sejarah perjuangan generasi keemasan Islam. “Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar. (Al-Hujurat 15)

Istiqamah bukan sifat amal yang mudah dimujahadahkan. Hingga tidaklah menghairankan bila Allah berjanji untuk menghadirkan malaikat-malaikatnya buat mereka yang istiqamah sebagai pelayan-pelayan yang menghiburkan hati yang gundah dan ketakutan di samping syurga dan apa sahaja yang kita inginkan…”Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan “Tuhan kami adalah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka (istiqamah), maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan memperoleh syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu. Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat; di dalamnya kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh apa yang kamu minta” (Fussilat 41: 30-31)

Subhanallah wal hamdulillah. Cukuplah ayat ini menunjukkan betapa Allah memberikan penghargaan, perhatian dan kasih sayang kepada orang-orang beriman yang meneguhkan pendirian mereka, sekaligus janji yang pasti terpenuhi.

Allah, semoga Engkau sudi untuk melihat hati ini dan melihat jiwa ini. Bimbing dia untuk menguatkan tekad,bermujahadah dalam rangka yang Engkai redhai. Tiap jalan-jalanku kutempuh dengan simpang-simpang selain jalanMu, bantulah aku dengan menghadirkan malaikat-malaikat yang membimbing baik dalam rerupa sahabat-sahabat yang mengingatkan, bacaan-bacaan Al-Quran dan buku atau meski dari lintasan-lintasan hati yang mendidik. Sesungguhnya Allah, tanpaMu, tiadalah aku mempunyai daya apapun untuk beramal soleh. Ihdinassirotal mustaqim…

“Ya Allah kurniakan kami lisan yang lembut, basah mengingati dan menyebut namaMu,hati yang penuh segar mensyukuri NikmatMu, serta badan yang ringanmenyempurnakan ketaatan kepada perintahMu. Ya Allah, kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang bermanfaat,keyakinan yang benar-benar mantap. Ya Allah, kurniakan kami diin- cara hidup yang jitu dan unggul, selamat dari segala mara bahaya dan petaka. Kami mohon, Allah kecukupan yang tidak kami memerlukan jasa orang lain. Berikanlah kami Ya Allah, iman yang sebenar-benarnya hingga kami tidak lagi gentar atau mengharapkan orang lain selain dari Engkau sendiri. Kembangkanlah lembayung rahmaMu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta siapa saja yang bersama-sama kami. Jangan Ya Allah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu. Wahai Tuhan yang memperkenankan doa, perkenankanlah.Selawat dan restu Allah untuk junjungan kami Muhammad, Nabi yang mulia, kepada keluarga Baginda dan para sahabat Baginda”.Amin..Ya Rabbal ‘Alamiin.

Diadaptasi dari buku: Syahadat  & Makrifatullah Cahyadi Takariawan, Wahid Amadi & Abdullah Sunono

Read Full Post »

Bismillahirrahmanirrahim…

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Alhamdulillah Oktober 2009 mencatatkan tarikh pertama Fida’ dan Faatih mengenal sungai dalam erti sesungguhnya.Hee~.(Malu sungguh! Nampak sangat baru pertama kali bawa ke sungai-sungai).

Subhanallah! Diorang boleh berdiri tegak je dekat dalam air tu sebab takut jatuh. Hihu~.Last sekali, umminyalah yang mengerjakan diorang supaya diorang jatuh dalam sungai tu and merasa keseronokan bermain air yang sesungguhnya. “Don’t worry dear, harmless trick to make you learn akan nikmat Allah”Hehehe 😀

~1.00pm,11 Oct 09 – Saya sedang membelikan aiskrim untuk Fida’ n Faatih. Ada sekelompok adik-adik dari “Program Motivasi” di sekitar kami yang berada di antara sungai dan kafetaria.

Tiba-tiba, dari arah opposite penjual aiskrim, berlari seorang remaja lelaki ke arah area sekumpulan remaja Program Motivasi yang sama lalu, Bukk! Dia menumbuk kawannya sambil menjerit, “Kaulah! Aku bengang betul!….bla3. (I don’t remember)”

Keadaan gawat…remaja-remaja lain juga fasilitator program (based on warna/tulisan pada baju dan anggaran usia), berkerumun ke arah remaja yang bertumbuk, melerai pergaduhan. Suara orang-orang menjerit jelas memecah suasana.

Tiba-tiba, “Allahuakbar, allahuakbar….” panggilan azan Zohor berkumandang. Sebahagian fasilitator tidak mahu ikut campur pergaduhan. Mengambil posisi bersiap untuk solat. Dan mengumandangkan iqamah, untuk mempersiapkan peserta lain bersedia mendivert attention untuk solat berjemaah. Sebahagian masih disana, melerai pergaduhan. Yang pasti, bagaikan solat bukan perkara wajib-bagi Muslim, peserta-peserta bebas untuk solat atau untuk berlegar. Majoriti berlegar-legar melihat free-show sahabat mereka bergaduh. Minoriti  mendirikan solat.

Saya, sahabat saya yang menjadi punca kami sampai ke kawasan sungai dan anak-anak bergegas solat meninggalkan perkarangan gawat. Innlillahiwainnailaiirajiun. *Sigh*

***

Dia seorang lelaki yang insyaAllah dekat untuk saya selalu mendoakannya. Tika menulis tentangnya, saya masih mendoakannya, “Moga Allah memberikan dia jiwa besar untuk menjadi seorang yang selalu bersabar”.Amin.

Dia ingin mendirikan rumah tangga cara Islami. Dia ingin jadi orang berkaliber dalam kerjayanya. Dia mengaku daie ialah salah satu kerjaya hidupnya. Takdir Allah memainkan peranan hingga kesihatannya untuk usia semudanya tidak seperti kawan-kawan sebayanya. Dia bukan sakit tenat, tapi ini bukan operation kali pertama dalam diari kehidupannya.

Hari Besar untuk orang-orang yang nak mendirikan “Masjid” sudah dekat dengan dirinya. Kad-kad sudah bercetak, tempahan-tempahan terkait semua persediaan sudah dibuat. Pun tarikh telah disepakati. Tiba-tiba, Allah mentakdirkan dia harus sekali lagi dioperasi. Dan di ofis, kerjanya menimbun – memanggil-manggil. Dan, entah perasaan apa yang berkecamuk dia jadi kacau bilau, dan tak semena-mena dia berucap, “Rasanya, saya tak semangat nak meneruskan pernikahan ni. Macam belum bersedia. Bolehke kalau saya nak mintak tangguh lagi 2-3bulan?”, dia mengaju pertanyaan kepada keluarganya. Oh, secara general-keluarga yang siap menerima bakal menantu yang baik, menyuruh dia menetapkan pendirian. Innalillahiwainna ilailhi rajiun.

***

Di sela petang Oktober yang lain, mama bercerita tentang cerita dari kawannya, “Ada budak-budak baru masuk kerja, tension dengan kerja ofis sampai nak terjun bangunan, peliknya remaja zaman sekarang..”

Saya jadi terpana. Apa yang terjadi pada jatidiri anak Muslim kini. *Sigh*

Ingin saja saya mengambil bahagian hati, “Mungkin kawan-kawan mama exaggerate kut kes orang nak bunuh diri tension dengan ofis”, tapi mana mungkin saya menolak bahagian hati yang melihat kes ragut setiap hari, kes rompak setiap hari, dan kes bunuh orang, bunuh diri dengan pelbagai sebab yang saya rasa tak sebanding penderitaan saudara-saudara Muslim di Gaza, China, Kashmir, Afghanistan dll. Hingga, seluruh hati saya jadi membungkam, sedih, dan ingin menangis- menerima pernyataan simple tapi pahit, anak remaja kita majoritinya sudah tiada jatidiri seorang Muslim. Innalillahiwainnailaihi rajiun.

***

Saudara se-Islamku,

Apabila marah, yang menjadikan seorang manusia mampu  mencontrol amarahnya ialah sabar dalam dirinya. Apabila sedih, tension, bengang, yang menjadikan seorang manusia mampu mencontrol diri dari mencari kesalahan pada orang lain, hingga ke membunuh orang, itu adalah lantunan sifat sabar yang juga dalam dirinya. Apabila berjanji, apalagi dengan perjanjian yang berat – mitsaqan galiza seperti pernikahan, yang menjadikan seseorang mampu teguh dalam memegang perjanjian adalah juga kesabaran dalam dirinya.Hatta, ketika seorang manusia mampu istiqamah menunaikan ketaatan, itu kerana kesabaran yang ada dalam dirinya.

Kerana itu Al-Quran memaparkan Allah memberitahu kita, tatkala kita berhadapan dengan apa jua masalah pun, “Wahai orang-orang yang beriman!Bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu”(Ali Imran:200). Inilah fakta yang dikeluarkan Al-Quran. Dan fakta simple inilah yang menolak mentah kenyataan,”My patience has reach its maximum limits!” atau “Aku memang dah cukup bersabar dah dengan dia!Memang Tuhan je tau aku punye sabar dah tahap maksima”.

Pernah di ofis, dalam sela perbualan saya dgn sahabat Non-Muslim saya, kami bercerita tentang konsep sabar. Dan saya memaparkan konsep sabar menurut Al-Quran yang tidak mengenal batas sebuah kesabaran. Dia lalu mentertawakan saya. “Are you saying if anybody kills your mother, you’ll better be patience and do nothing about it?”. Masa tu saya jadi terdiam. Dalam hati saya terfikir semua jenis konsep hudud yang membenarkan kita membunuh kembali pembunuh yang membunuh saudara kita tanpa alasan tapi saya diam. Saya tidak mahu membicarakan hukum hudud Islam kepada orang yang tak percaya tentang Al-Quran. Akan panjang argument bila dia bertanya tentang sebatan, rejam kepada penzina, potong tangan kepada pencuri dll.

Tetapi semalam semasa session discussion, sahabat menyuruh kami membentangkan tentang Ukhuwwah Persis Sahabat Rasulullah. Setiap participant discussion disuruh membentangkan kisah yang menyentuh ukhuwwah Rasulullah yang benar-benar menyentuh hatinya. Saya kemudian membentangkan tentang Aus dan Khazraj.Dua puak Yathrib yang beratus-ratus tahun dalam perang saudara sampai anak-cucu mereka sudah tidak tahu atas alasan apa moyang mereka berperang tapi terus berperang. Saya selalu kagum dengan kemampuan mereka untuk memaafkan. Sehari sebelum mereka memeluk Islam, sebahagian mereka mungkin mengalami kematian saudara dekat dari tangan suku bertentangan. Malah memang ada kisah Saad bin Ubadah menghunus pedang kepada saudaranya beberapa jam sebelum beliau Islam ditangan pelerai pergaduhan, Mush’ab bin Umair r.a. Tapi, subhanallah dengan iman mereka, tatkala syahadah terlafaz, seolah peristiwa semalam-ibu yang dibunuh suku lawan atau sebagainya, tidak pernah berlaku. Subhanallah, iman gaya ini selalu membuat saya terkagum-kagum sendiri. Sewaktu membentang, saya jadi, teringat, maknanya sejarah pernah membuktikan wujud orang-orang yang tatkala dibunuh ibunya atau saudaranya, mampu bersabar dengan pembunuhnya semata atas dasar iman, dan mujahadah kesabaran, “Wahai orang-orang yang beriman!Bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu”(Ali Imran:200). Maha benar Allah bahawa sabar itu seperti yang difirmankanNya merupakan sesuatu yang tidak mempunyai batasan. Dan ini tanpa melupakan kenyataan Allah juga, yang setiap ujian adalah berkadar langsung dengan kemampuan penerima ujian. Subhanallah…

Kerana ini, saya kira saya sangat bersetuju dengan kenyataan Harun Yahya dalam The Importance of Patience in the Quran, “The Quran defines patience as one of the paths that lead people from darkness to light and as an attribute of morality that is superrior to, wide-ranging, and very different from the daily behaviour of many people. Thus patience is a moral characteristic displayed in the face of difficulty and in every moment of life.Moreover, it requires the demonstration of determination (jiddiyah) and consistency during times of ease and hardship, and is a lifelong endeavor that never goes astray even for a moment.(istiqamah,istimrar)”

Kerana itu, setiap saya melihat masyarakat yang semakin buruk akhlaknya-rasuah mengatasnamakan kebajikan, merompak atas alasan desakan hidup, membunuh atas alasan-alasan sepele, saya jadi tidak keruan. Kerana saya memahami yang hilang dalam jati diri Muslim hari ini adalah sifat sabar Muslim untuk menurut ajaran Al-Quran. Dan sebenarnya, yang menjadikan kita tidak mampu bersabar kerana kita merasa mampu melakukan sabar sendiri, padahal Allah sendiri menyuruh kita meminta pertolongan Allah dalam bersabar, “Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Dan solat itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk” (AlBaqarah 2:45).

Saudara se-Islamku,

Seandainya saja kita menyemak teks Al-Quran Ayat 2:45 tadi, kita akan mendapati Allah berfirman, “Wasta’inu bissobri was solat….” dan perkataan ista’inu itu bermula dari huruf alif, sin dan ta. Saya jadi teringat tazkirah seorang sahabat saya yang memang mengambil jurusan Bahasa Arab semasa menghurai ayat ini. Beliau berkata, “Perkataan yang bermula dengan huruf alif, sin, ta dalam konteks bahasa arab memaparkan sesuatu yang sukar/susah untuk dibuat/diamalkan. Jadi ayat ini menunjukkan sekalipun sabar & solat seolah perkara yang simple tapi sebenarnya Allah tahu ia adalah sesuatu yang sukar. Kan nak sabar waktu tengah bengang, nak khusyuk dalam solat, istiqamah solat awal waktu adalah suatu yang sukar untuk kita amalkan meskipun kita mengetahui kebaikan-kebaikannya sedari kecil. Dan sebab tu perkataan istiqamah pun bermula dengan alif, sin,ta sbb memang bukan hal yang mudah. Sebab tu juga, kalau kita meneliti Al-Quran, tak banyak perkataan yang menggunakan alif, sin,ta ni-nak menunjukkan, banyak yang Allah nak mudahkan dari memberatkan kita”. Subhanallah…

***

Harini kita melihat ramai masyarakat Malaysia culas dalam mendirikan solat. Malah, ada terjadi, seorang lelaki yang berkawan dengan sekelompok pekerja yang tidak solat diejek skema kerana solat. Jadi, pada keadaan ini, amat benar; untuk teguh dalam pendirian kita harus selalu meminta pertolongan Allah. Saya tidak mahu membincangkan statistik orang solat dan statistik orang yang tidak solat di Malaysia kerana saya tidak menjumpainya dari mana-mana sedutan akhbar atau pihak bertanggungjawab setelah mencari lebih dari seminggu, tetapi banyak sekali statistik jenayah, penceraian dan murtad yang tersenarai dikeluarkan JAKIM. Semua number berangka lebih dari 100 dan melibatkan individu dan keluarga Muslim.

Saudara se-Islamku,

Allah berfirman dalm surah Al-Ankabut 29:45,”Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar”. Tapi dalam surah Al-Ma’un 107:4-7, Allah berfirman”Maka celakalah orang yang solat, iaitu orang yang lalai dalam solatnya, yang berbuat riya’ dan enggan memberikan bantuan”. Dari kedua ini jelas membuktikan Allah bukan menuntut amal solat kita dari pergerakan fizikal semata, tapi Allah menuntut ‘solat’; pelatihan khusyuk, ihsan, muraqabatullah dan lainnya dalam solat diimplementasi dalam seharian hidup kita. Kerananya orang yang solat tapi riya’ dan enggan memberi bantuan dikatakan celaka oleh ALlah, Yang Maha Kuasa. Jadi, seperti mana universiti mempunyai kuota minimum kelayakan untuk terus menjadi pelajar, seperti mana company mempunyai benchmark sebagai performing staff and under perform staff, Allah juga menuntut quality dari gerak solat, gerak ihsan, gerak muraqabatullah setiap Muslim semasa solat dan sepanjang dia melakukan aktiviti hariannya dalam kehidupannya.

Atas alasan quality control yang perlu dihasilkan bagi diri sendiri, kita nak tak nak memang perlu menjadikan diri kita berada dalam zon jiddiyah kesabaran untuk terus menerus berada di atas tali Allah. Jiddiyah kesabaran inilah saudaraku, yang kita perlukan untuk kita khusyuk dalam solat, solat tepat waktu, istiqamah mengejar solat berjemaah, istiqamah mengejar solat berjemaah di masjid, istiqamah melakukan sunat-sunat rawatib dsb. Melatih diri kita untuk jiddiyah kesabaran ini merupakan jihad. Itu yang pasti.

Allah sendiri berfirman dalam AlBalad 90:10-11,”Dan kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (kebajikan dan kejahatan). Tetapi dia tidak menempuh jalan yang mendaki dan sukar?” Jadi, seperti yang Allah sendiri mengiktiraf atas kearifanNya tentang sifat-sifat manusia-jiddiyah untuk istiqamah dalam semua bentuk kebaikan memang merupakan hal yang sukar seperti pendakian yang melelahkan tapi merupakan jalan orang-orang beriman dan diberikan catatan amalan dari tangan kanan, “Kemudian dia termasuk orang-orang yang beriman, dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang. Mereka adalah golongan kanan” (Al-Balad 90:17-18)

Jadi, apa pendapat anda tentang orang yang sabar untuk jiddiyah dalam semua bentuk kebaikan dalam solatnya demi menjaga quality solatnya di depan Allah?. Pelatihan khusyuk merupakan pelatihan untuk concentrate dalam suatu pekerjaan dengan kesungguhan yang luar biasa. Pelatihan untuk menjaga waktu solat merupakan pelatihan untuk pengurusan waktu yang paling efision.Pelatihan mengerjakannya secara berjemaah dan di masjid merupakan pelatihan untuk mempersembahkan kualiti kerja yang terbaik dan pelatihan untuk istiqamah dengan rawtib merupakan pelatihan untuk menjadi orang yang oppotunist; membuat alternatif yang sesuai dalam bekerja tanpa perlu pengarahan yang mendetail dari boss. Bukankah ini ciri manusia yang ingin di develop di semua company? Bukankah ciri-ciri ini merupakan ciri orang yang berjaya. Melihat hal ini, amat benar Allah ketika berfirman,”Sungguh berjaya orang-orang yang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya. Dan orang yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tidak berguna. Dan orang yang menunaikan zakat, dan memelihara kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Tetapi, barangsiapa mencari sebalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan sungguh beruntung orang yang memelihara amanat-amanat dan janjinya, serta orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya”(AL-Mukmin 23:1-11)

***

Memahami hal ini, saya ingin sekali kiranya Allah mengizinkan saya untuk menjadi sebahagian dari hambanya yang punya sungai kesabaran dalam dirinya. Besar harapan saya, moga Allah mengizinkan saya untuk punya sungai kesabaran untuk menghadapi kehidupan dari hal yang paling kecil hingga hal yang paling besar dalam kehidupan saya.

Saya juga, selaku orang yang hidup dalam masyarakat, sangat ingin agar saudara-saudara se-Islam saya berusaha untuk mempertingkat jiddiyah kesabaran dalam urusan solat hingga hal ke hal kehidupan kita sehari-hari.Agar kita punya jati diri masyarakat terbaik sepertimana pernah tercatat dalam lembaran-lembaran sejarah dunia. Agar sifat masyarakat Muslim bukan ilusi tapi kenyataan seperti kenyatan Al-Quran dan sejarah.

Kerana sungai kesabaran milik para Nabi as, para sahabat Rasulullah saw dan salafussoleh membuktikan mereka menjadi orang-orang yang disiplinnya tak tertandingi sepanjang zaman. Inilah jalan orang-orang yang istiqamah. Kerana itu Ya Allah jadikan aku orang yang punya sungai kesabaran. Agar aku jadi Al-Mustaqim; orang yang istiqamah. Ihdinassiratal mustaqim. Amin.

Read Full Post »